Beliau berkata, barisan pemain Harimau Malaya akan lebih bersedia daripada aspek kecergasan menjelang tugasan antarabangsa bertemu Timor Leste dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil bulan depan.

Justeru, bekas pengendali Kedah itu memuji pendekatan MFL yang turut mementingkan agenda kebangsaan tanpa merehatkan perjalanan Liga M pada bulan Ramadan.

“Saya berpendapat Liga M berjalan pada bulan Ramadan sebenarnya mempunyai kebaikan kerana ia dapat membantu pasukan kebangsaan.

“Jika Liga M rehat pada bulan Ramadan, ia sedikit sebanyak menjejaskan momentum pasukan kebangsaan, tetapi ia berbeza apabila pemain-pemain terus bermain dalam perlawanan kompetitif sebelum dipanggil menyertai latihan pusat.

“Sememangnya bermain pada bulan Ramadan sedikit sebanyak memberikan kesan kepada fizikal dan kecergasan pemain, tapi saya fikir pemain-pemain sudah memiliki pengalaman beraksi dalam bulan Ramadan pada tahun lepas, jadi ia tidak akan mengganggu rentak mereka,” ujarnya.

Pentadbir Liga M, MFL membuat keputusan untuk meneruskan perlawanan ke-13, 14 dan 15 Liga Super dan Liga Perdana serta aksi kedua suku akhir Piala FA sepanjang Ramadan ini.

Ini bukan kali pertama Liga M berjalan pada bulan Ramadan dan penjadualan liga ini sudah dimaklumkan kepada setiap pasukan sebelum musim bermula.

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe tidak menganggap pemain tempatan akan bergelut untuk memberikan prestasi terbaik ketika mereka bermain bersama pasukan masing-masing sepanjang Ramadan.

“Apa yang penting pemain harus menikmati setiap masa apabila bermain dalam bulan Ramadan dan saya fikir ramai yang mula tidak setuju tetapi sebagai bekas pemain, saya percaya pemain-pemain dapat menyesuaikan diri dalam situasi ini,” katanya.