Jika JDT memulakan kempen 2018 dengan dua kemenangan berturut-turut, Kuala Lumpur pula tewas dua kali, sekali gus tiada siapa yang meletakkan harapan skuad The City Boys mampu mengutip tiga mata bertemu gergasi Harimau Selatan.

Begitupun jaringan Paulo ­Josue pada minit ke-46 malam tadi, iaitu sebelum perlawanan dihentikan pada minit ke-56 akibat hujan lebat dan disambung semula petang ini, sudah memadai untuk menghukum JDT.

“Memang kami tertekan sebelum perlawanan kerana tewas dua kali berturut-turut dan berdepan pula pasukan hebat seperti JDT, namun pemain menunjukkan aksi baik dan berhak menang,” kata pengendali Kuala Lumpur, Fabio Magrao.

Bagi jurulatih JDT, Ulisses Morais, tiada apa yang perlu dirisaukan dengan kekalahan itu kerana liga baru bermula dan pasukannya menunjukkan banyak potensi untuk mempertahankan kejuaraan.

“Kami mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol hari ini dan semalam, namun disebabkan kami memberi ruang kepada Kuala Lumpur mereka berjaya memanfaatkannya.

“Saya bukan mahu mencari alasan tetapi saya akui kesilapan kami sendiri kerana saya fikir jika kami tidak menjaringkan gol, lawan akan melakukannya. Inilah bola sepak, ada hari bagus dan ada hari tidak bagus.

“Dalam bola sepak jika mahukan kemenangan, anda mesti menjaringkan gol. Dan hari ini adalah hari tidak bagus buat kami tetapi kami bernasib baik hari yang tidak bagus ini hadir pada awal musim, bukannya datang pada penghujung musim.

“Walau apa sekali pun, perkara seperti ini boleh terjadi satu tahun sekali sahaja.

“Saya tidak percaya perkara seperti ini boleh terjadi dua tiga kali dalam setahun apabila ada berpuluh-puluh peluang di hadapan gol namun satu pun tidak boleh masuk. Ia hanya sekali dalam setahun,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini hari ini.

Sementara itu, jaringan lewat minit Muhammad Akhyar Abdul Rashid memastikan Kedah kembali ‘bernafas’ selepas mencatat kemenangan pertama musim ini dengan menumpaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC 1-0 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Kedah yang tewas 1-2 kepada JDT dan 1-3 di tangan Perak dalam dua perlawanan pertama me­nyaksikan pemain baharu mereka, Andik Vermansah melakukan hantaran cantik untuk disudahkan Akhyar pada minit ke-85.

Kemenangan meletakkan anak-anak buah Ramon Marcote di tangga kelapan liga.