Katanya, pemainnya menunjukkan corak permainan yang luar biasa walaupun sudah ketinggalan dengan tiga gol dan kehilangan seorang pemain akibat dikenakan kad merah.

"Walaupun kita ketinggalan tiga gol pada separuh masa pertama dan kehilangan seorang pemain, saya tetap positif mereka mampu menjaringkan gol pada suku akhir kedua, kita boleh nampak pemain bermain dengan baik dan berjaya menyerap tekanan serta dapat menjaringkan gol pertama.

"Saya pasti akan ada kejutan yang diberikan tetapi ia bukan mudah dengan hanya membawa bekalan satu gol ke tempat lawan kerana Kedah mempunyai pemain yang bagus dan bermain di tempat sendiri ini akan memberi kelebihan kepada mereka," katanya pada sidang media selepas tewas 1-3 kepada Lang Merah pada aksi suku akhir pertama di Shah Alam, semalam.

Dalam pada itu, Rajagobal yakin pasukannya mampu bermain dalam keadaan tertekan kerana Kedah bermain di laman sendiri dan tekanan turut dirasai Lang Merah yang beraksi di depan penyokong sendiri.

"Kita ada pemain yang sudah biasa bermain dalam keadaan seperti ini dan apa yang saya mahu ialah pemain melupakan kekalahan ini dan pergi ke Darul Aman dan bermain dengan sebaik mungkin," katanya. - BERNAMA