Presiden Persa­tuan Bola Sepak Sarawak (FAS) memberitahu, me­reka telah meng­ambil masa selama lima tahun untuk membina, mengukuhkan semula reputasi dan menghidupkan bola sepak Sarawak seperti hari ini, namun terpalit dengan kejadian merusuh semalam.

Katanya, beliau kesal dengan segolongan penyokong yang merusuh di Stadium negeri hingga menyebabkan kemusnahan kenderaan polis adalah melampau dan di luar batasan.

"Beberapa penonton dan kanak-kanak juga terpaksa diberi rawatan apabila terhidu bom asap.

"Saya amat kecewa dengan sikap mereka terlibat yang memalukan diri kita orang Sarawak dan menjejaskan imej FAS.

"Saya akan bekerjasama dengan pihak polis untuk memastikan tindakan tegas diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, semalam.

Kelmarin kira-kira 2,000 penyokong Sarawak merusuh yang dipercayai ekoran 'layanan' penyokong Perak yang mencetuskan provokasi kepada penyokong Ngap Sayot di Ipoh pada 20 Ogos lalu.

Kejadian provokasi itu ke atas penyokong Sarawak tersebar di laman sosial yang menyebabkan kemarahan mereka.

Tambah beliau, pihaknya telah menambahkan bilangan anggota keselamatan untuk bertugas setelah mengambil kira provokasi penyokong Perak kepada pemain dan penyokong Ngap Sayot minggu lalu.

"Malangnya, dalam insiden semalam, menjadi mangsa kejadian adalah orang kita sendiri, bukannya orang lain atau yang disasarkan," ujarnya.

Beliau berkata, di era bola sepak profesional, ia merupakan satu industri yang mana menjadi tempat mencari nafkah bagi pemain-pemain dan jurulatih.

"Semenjak kami mengambil alih pengurusan FAS lima tahun lalu, belum pernah membayar gaji pemain walaupun lewat sehari.

"Kami tidak mengharapan sebarang ganjaran, tetapi apa yang kita harapkan adalah kerjasama dan saling memahami daripada penyokong-penyokong bola sepak Sarawak," jelasnya.