Pemain tengah kelab EPL, Leicester City berusia 22 tahun itu mempunyai ibu dari Asia, Rafia Dewan Choudhury yang berasal dari bandar Habiganj.

“Kedua-dua ibu bapa (tiri) saya berketurunan Bangladesh yang membesarkan saya tetapi bapa kandung saya asalnya dari Grenada. Jadi, kami ada sebuah keluarga Asia-Carribean yang besar (termasuk saudara-saudara lelaki dan perempuan tiri),” katanya dengan bangga.

GAMBAR kiri bersama bapa dan saudara tirinya, manakala gambar
GAMBAR kiri bersama bapa dan saudara tirinya, manakala gambar sebelah kanan Hamza Choudhury bergambar kenang-kenangan dengan ibu kesayangan, Rafia Dewan Choudhury.

Anak kelahiran Loughborough, England itu dikenali dalam arena EPL sebagai pemain bergaya rambut afro mirip bintang Belgium, Marouane Fellaini yang kadang kala menjengkelkan pemain lawan.

Hamza juga dianggap memiliki kemampuan dan keberanian melakukan terjahan yang bersih dan tepat dalam merampas serta memintas penguasaan bola lawan - ciri istimewa yang dikesan sejak remaja lagi ketika bersama Akademi Leicester City.

WAJAH bintang The Foxes ini ketika berusia tujuh tahun.
WAJAH bintang The Foxes ini ketika berusia tujuh tahun. 

Kehebatannya itu turut membantu The Foxes meleburkan rekod tanpa kalah Manchester City dalam musim EPL 2018/19. Hamza juga pernah menyarung jersi skuad bawah 21 tahun England sewaktu menyertai Kejohanan Toulone, tahun lalu.

HAMZA CHOUDHURY bersama kekasihnya, Olivia Fountain dan anak perempuan
HAMZA CHOUDHURY bersama kekasihnya, Olivia Fountain dan anak perempuan mereka.

Sebagai pemain berketurunan Bangladesh pertama yang beraksi dalam EPL sejak dua tahun lalu, Hamza sentiasa dianggap sumber kebanggaan komuniti pendatang negara Asia Selatan itu di England. Dia juga tidak pernah menjadi ‘kacang lupakan kulit’.

Bersama teman wanitanya, Olivia Fountain, 22, (seorang pereka hiasan dalaman) dan anak perempuan mereka, dia hanya memilih hidup sederhana di Aylestone, Leicester, tidak jauh dari Stadium King Power.

“Sejak kecil saya hidup dalam kelas masyarakat yang hanya berpendapatan rendah,” kata bekas kapten pasukan akademi remaja Leicester itu yang disertainya sejak berusia tujuh tahun.

Dia juga tidak mabuk dengan limpahan wang dan menggemari gaya hidup mewah atau glamor seperti ramai bintang bola sepak profesional yang bergaji lumayan, walaupun, kini memiliki sebuah kereta Mercedes-Benz.

“Leicester sebuah kelab keluarga, itu yang jelas dapat dilihat sejak saya menyertai pasukan itu. Leicester menjadi pilihan saya dan keluarga. Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apabila saya ditawarkan lanjutan kontrak sehingga 2022,” katanya.

Setiap kali bertandang ke Bangladesh, Hamza memilih hobi sederhana dengan gemar bersantai secara menunggang unta di bandar asal ibunya, Habiganj yang terletak kira-kira 130 kilometer dari ibu negara Bangladesh, Dhaka.

Sekurang-kurangnya dua bulan dalam setahun, dia yang kerap didakwa media Bangladesh turut memiliki kerakyatan negara itu, menziarahi Rafia yang ketika ini kembali menetap di Habiganj.