FIFA berkata, cuma Blatter, warga Switzerland yang menjadi presiden sejak 1998 yang akan bertanding untuk penggal keempat serta ahli perniagaan jutawan Qatar, Hammam sebagai calon yang mendaftar pada tarikh akhir 1 April lalu.

Pemilihan akan berlangsung 1 Jun ini pada Kongres FIFA di Zurich, di mana setiap orang daripada 208 ahli persatuan kebangsaan memegang satu undi, selagi tidak digantung ketika itu.

Terdapat dua lagi bakal calon tetapi wartawan Amerika Syarikat, Grant Wahl berkata, dia gagal mendapatkan sokongan bertulis daripada salah satu persatuan bola sepak kebangsaan yang disyaratkan buat seseorang calon dan bekas ketua pasukan Chile, Elias Figueroa menarik diri Khamis lalu.

Figueroa, salah seorang daripada pemain bola sepak Amerika Selatan yang paling dihormati, mewakili sebuah kumpulan yang dipanggil 'Mengubah FIFA' tetapi berkata tidak mempunyai cukup masa untuk mula melancarkan sebuah dasar yang meyakinkan.

Blatter, presiden kelapan FIFA sejak pertubuhan itu diasaskan pada 1904, menyertai badan bola sepak dunia itu sebagai pegawai teknikal pada 1975 dan menjadi setiausaha agung dari 1981- 1998 di bawah Presiden Joao Havelange.

Pada 1998, dia menang selesa 111-80 ke atas warga Sweden, Lennart Johansson, Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang menyerah kalah.

Empat tahun kemudian, Blatter meraih kemenangan besar 139-56 ke atas warga Cameroon, Presiden Gabungan Bola Sepak Afrika sekali gus mengukuhkan cengkamannya terhadap FIFA sejak itu.

Dia tidak ditandingi apabila dia dipilih semula pada 2007.

Di bawah kepimpinan Blatter, FIFA membawa Piala Dunia ke Afrika buat kali pertama.

Penganjuran secara besar-besaran telah dilihat sebagai sebuah kejohanan yang berjaya di Afrika Selatan.

Hammam, 61, juga menjadi calon dari dalam FIFA yang menjadi ahli jawatankuasa eksekutif yang berkuasa sejak 1996. - Reuters