Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi, dalam satu kenyata­an semalam telah mengumumkan tiga nama telah dicalonkan oleh ahli gabungan FAM untuk merebut jawatan tertinggi badan induk itu.

Mereka ialah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Walau bagaimanapun, Hamidin yang ditemui semasa majlis sambutan Hari Bola Sepak Akar Umbi AFC 2018 enggan mengulas mengenai persaingan tiga penjuru tersebut.

“Buat masa ini, saya tidak boleh beri sebarang komen. Saya akan komen bila sampai masa­nya,” katanya ringkas.

Selepas tempoh pencalonan yang dibuka pada 2 April lepas berakhir pada 5 petang semalam, FAM hanya menerima tiga nama berkenaan sebagai calon daripada ahli gabungan FAM yang telah mengembalikan kertas pencalonan masing-masing.

Sehubungan itu, tiga calon berkenaan perlu mengesahkan penerimaan pencalonan masing-masing sebelum atau pada 14 Jun, iaitu sebulan sebelum berlangsungnya Kongres FAM Ke-54 pada 14 Julai ini.

Kerusi tertinggi FAM itu kosong apabila Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan peletakan jawatannya pada 25 Mac lalu dengan mencadangkan Hamidin sebagai individu paling layak untuk menerajui FAM. – BERNAMA