Katanya, syarikat milik keluar­ganya iaitu Adeq Sue Resources Sdn. Bhd., akan menaja air mi­neral kepada skuad Terengganu dan T-Team sepanjang musim ini yang diharapkannya dapat membantu mengurangkan kos pengurusan kedua-dua pasukan tersebut dalam menghadapi persaingan liga pada musim baharu.

Hairuddin atau lebih dikenali sebagai Hai-O berkata penajaan tersebut diberikan untuk membalas jasa kedua-dua pasukan itu yang membantunya mencipta nama dalam karier bola sepak.

“Melalui syarikat yang diusahakan oleh ahli keluarga saya sendiri iaitu Adeq Sue saya telah membuat keputusan untuk memberi penajaan air mineral jenama I Go keluaran syarikat kami kepada Terengganu dan T-Team.

“Penajaan tersebut diberikan selama satu tahun dan jumlahnya adalah RM100,000. Setiap bulan syarikat saya akan memperuntukkan 150 karton air mineral kepada Terengganu manakala 100 karton kepada T-Team.

“Saya membuat keputusan untuk memberi penajaan tersebut kerana saya pernah beraksi dengan kedua-dua pasukan itu, jadi saya mahu menabur bakti semula kepada mereka. Penajaan ini tidak besar tetapi saya harap sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos pengurusan pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pemain kelahiran Setiu itu memulakan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional dengan menyertai Terengganu pada 1999 hingga 2002, kemudian berhijrah ke Pahang sebelum menyertai T-Team pada 2008 selama dua tahun.

Kepulangannya ke pangkuan skuad Penyu turut dikatakan bakal menjadi destinasi terakhirnya sebelum membuat keputusan untuk bersara daripada kancah bola sepak tempatan.

Menyentuh mengenai keputusannya untuk kembali menyertai Terengganu, Hai-O berkata dia ada ditawarkan kontrak baharu selama setahun oleh ATM namun menolaknya kerana ingin menamatkan kariernya di negeri kelahirannya.