Penjaga gol Perak itu berkata dia sedar Izham Tarmizi Roslan juga layak untuk berada di posisi itu dan dia tidak akan menjadikan perkara itu sebagai satu isu kerana mereka berdua mempunyai misi yang sama iaitu me­ngawal gawang daripada dibolosi pihak lawan.

“Siapa pun yang menjadi pilihan tidak menjadi masalah kerana ketiga-tiga penjaga gol iaitu saya, Izham dan Khairulazhan (Khalid) mempunyai misi yang sama. Bagi saya jika saya diturunkan saya akan memberi aksi yang terbaik dan cuba sedaya upaya mengawal gawang daripada dibolosi.

“Kami semua telah bersedia untuk berdepan dengan Korea Utara. Pemilihan stadium juga adil buat kedua-dua pasukan kerana stadium ini merupakan antara yang terbaik di Thailand,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium I-Mobile di sini hari ini.

Pertemuan Malaysia menentang Korea Utara ditunggu-tunggu pemerhati bola sepak kerana tarikh perlawanan antara mereka terpaksa diubah sebanyak tiga kali berikutan isu keselamatan.

Ini menyebabkan dua pertemuan antara kedua-dua pasukan terpaksa berlangsung di gelanggang berkecuali dengan Buriram menjadi pilihan untuk perlawanan esok dan Isnin depan.

Mengulas mengenai persiapan dalam tempoh singkat, Hafizul tidak menganggap perkara itu sebagai cabaran besar kepada skuad negara yang katanya pasti akan berusaha memberi aksi terbaik.

Tambahnya, sejak perlawanan pertama lagi iaitu menentang Lebanon mereka telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab mewakili negara.

“Persediaan singkat bukan alasan untuk kami tidak memberi aksi terbaik, bagi saya kami telah membuat persediaan sejak perlawanan pertama menentang Lebanon.

“Mengenai isu penangguhan sebanyak tiga kali, saya tidak boleh ulas perkara itu kerana bukan tanggungjawab saya untuk memberi penjelasan mengenai perkara itu,” katanya.