Dua keputusan kontroversi pengadil dari Australia, Christopher Beath turut menyaksikan Harimau Malaya terpaksa menutup saingan dengan sembilan pemain.

Ini kali kedua berturut-turut skuad negara gagal mengutip mata penuh di laman sendiri selepas tewas 1-2 kepada Lebanon dalam aksi pertama Kumpulan B di Larkin, 13 Jun lalu.

Ketika Malaysia terpaksa beraksi de­ngan sembilan pemain apabila Rizal Ghazali dan Aidil Zafuan Abd. Radzak dibuang padang pada lewat permainan, Hong Kong diberi sepakan pe­nalti selepas Alessandro Leonardo dijatuhkan dalam kotak penalti.

Hafizul Hakim bagaimanapun berjaya menampan sepakan Leonardo yang dihala ke kiri gawang sebelum rembatan susulan penyerang kelahiran Brazil itu tersasar keluar.

Malaysia bermula agresif sejak awal permainan dan hampir me­raih gol seawal minit ketujuh menerusi Darren Lok, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gawang Hong Kong, Yapp Hung Fai.

Darren sekali lagi memperoleh peluang terbaik untuk meme­cah kebuntuan, namun umpanan Mohd. Syazwan Zainon diselamatkan penjaga gol pelawat.

Peluang terbaik Malaysia untuk mendahului hadir pada minit ke-23, namun percubaan Safiq Rahim sedikit tersasar.

Ketumpulan jentera sera­ngan negara sangat jelas apabila gagal menyempurnakan beberapa peluang termasuk gerakan solo Darren, selain rembatan Mohd. Amirulhadi Zainal yang sekadar melewati palang.

Bersambung babak kedua, anak-anak buah Nelo Vingada tersentak apabila Hong Kong menjaringkan gol pembukaan menerusi Leonardo yang menolak umpanan Jaimess Mckee minit ke-53.

Malaysia bagaimanapun tidak menunggu lama untuk me­nyamakan kedudukan apabila percubaan Safiq yang gagal ditampan kemas Hung Fai berjaya disudahkan Mohd. Syazwan, tiga minit kemudian.

Selepas tamat dua perlawanan, Harimau Malaya kekal di tangga tercorot dan akan bertandang ke Korea Utara untuk aksi ketiga pada 5 Oktober ini.