Namun, penjaga gol Muhamad Hafizul Hakim Khairul Nizam menyelamatkan gawang negara.

Kecekapan pemain berusia 24 tahun itu menepis sepakan penalti Alessandro Leonardo membolehkan Harimau Malaya berkongsi mata dengan pelawat dalam perlawanan Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Keputusan yang diraih itu dilihat memberikan sedikit kelegaan, walaupun skuad negara terpaksa menghadapi laluan sukar untuk melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan itu selepas tunduk kepada Lubnan 2-1 pada Jun lalu.

Muhamad Hafizul Hakim yang ditemui selepas perlawanan turut melahirkan rasa syukur kerana telah membantu pasukannya dalam keadaan genting.

“Ketika itu saya hanya fikir untuk selamatkan gawang daripada dibolosi kerana kita bermain di tempat sendiri dan Alhamdulillah memang rezeki saya pada hari ini berjaya menampan bola keluar.

“Walaupun kita tidak menang dan mungkin ini sahaja rezeki Malaysia pada perlawanan ini, kita kena kekal fokus dan tidak boleh berputus asa selain berdoa,” katanya.

Penjaga gol pasukan Perak itu turut melihat corak permainan skuad negara semakin baik dan menunjukkan kesefahaman sebagai sebuah pasukan.

Katanya, dia percaya pasukan negara akan menunjukkan permainan lebih baik dalam perlawanan seterusnya dan akan berusaha untuk mendapatkan mata penuh.

Ketua pasukan Safiq Rahim juga percaya tahap permainan pasukan kebangsaan semakin menunjukkan perkembangan selepas mengharungi dua perlawanan kelayakan.

Pemain tengah itu, yang kembali mengemudi skuad kebangsaan selepas keluar daripada persaraan pada Julai tahun lalu, juga berjanji akan memperbaiki kelemahan sendiri dan meningkatkan kualiti permainan dalam aksi seterusnya.

“Alhamdulillah, kita dapat meraih satu mata malam ini walaupun ada sedikit masalah berlaku pada penghujung perlawanan sehingga memberi kesan negatif pasukan negara,” katanya.