MYANMAR - 18 NOVEMBER 2016 - PEMAIN tengah, Hadin Azman semasa
HADIN AZMAN yakin Malaysia mampu melangkah ke perlawanan akhir Piala AFF jika fokus kepada satu demi satu perlawanan. – UTUSAN

Skuad negara menetapkan sasaran untuk layak ke perlawanan akhir kejohanan dwitahunan ini namun Hadin berkata pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengingatkan pemain agar fokus kepada satu demi satu perlawanan dan dia bersetuju.

“Semua pasukan yang mengambil bahagian mahu la­yak ke pentas akhir. Siapa yang tidak mahu. Bagi saya, Malaysia juga tidak terkecuali dalam hal ini namun kami perlu fokus perlawanan satu demi satu terlebih dahulu.

“Kalau kami terlalu memikirkan mahu layak ke final mungkin itu akan menjejaskan keada­an serta mental pemain jadi lebih baik kami fokus bagaimana mahu layak ke peringkat empat pasukan terakhir, kemudian akhir.

“Saya tahu bukan kami sahaja yang memiliki misi ini sebaliknya semua pasukan tetapi dengan perancangan jurulatih saya yakin kami boleh melepasi peringkat kumpulan dan yang penting kami perlu bermain bermati-matian,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Thuwunna hari ini.

Dalam pada itu, pemain berusia 22 tahun itu juga memberitahu ketika ini moral dan semangat pemain berada di tahap terbaik selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Papua New Guinea dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam pada Isnin lalu.

Perlawanan itu adalah ujian terakhir untuk Harimau Malaysia sebelum ke Myanmar di mana mereka akan bertemu Kemboja dalam perlawanan pembukaan Piala AFF di Stadium Thuwunna pada Ahad ini.

Hadin berkata mereka tidak boleh memandang rendah terhadap terhadap keupayaan Kemboja walaupun lawan mereka itu adalah pasukan yang hadir ke Yangon selaku pemenang peringkat kelayakan.

Selain Kemboja, Malaysia akan turut menentang Vietnam dan tuan rumah Myanmar di peringkat kelayakan.

“Kita perlu berhati-hati de­ngan semua pasukan termasuk Kemboja. Tiada alasan untuk kami memandang rendah terhadap mereka biar dalam apa jua keadaan sekali pun. Ini penting untuk mendapatkan tiga mata sebagai permulaan sempurna dalam kejohanan ini.

“Selepas itu barulah kami memikirkan bagaimana untuk menghadapi baki dua perlawanan peringkat kumpulan seterusnya dengan bertemu Vietnam pada 23 November dan Myanmar (26 November),” katanya lagi. – UTUSAN