Kim Swee kini memiliki 27 pemain yang sedang menjalani latihan fasa akhir. Sukan SEA hanya membenarkan 20 pemain disenaraikan, bermakna pengendali dari Melaka itu perlu memilih bukan sahaja yang terbaik tetapi pemilihan pemain juga perlu dibuat mengikut strategi permainan yang diterapkannya.

Oleh itu dia menetapkan tiga kriteria untuk membuat pemilihan anggota skuadnya.

“Bukan mudah untuk saya menyenaraikan 20 pemain terakhir memandangkan semuanya menunjukkan kerjasama dengan baik antara satu sama lain. Bagaimanapun saya tetap kena memilih 20 yang terbaik sahaja.

“Tiga aspek pemilihan akan saya gunakan dalam pemilihan kali ini dengan melihat kepada tahap kecederaan pemain, keletihan dan posisi pemain itu sendiri. Bagaimanapun hingga kini saya masih belum ada bayangan.

“Saya masih mempunyai tiga sesi latihan untuk menentukan 20 pemain terbaik. Saya masih ada masa lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di padang latihan Sime Darby hari ini.

Tambah Kim Swee, enam pemain yang sebelum ini gagal melaporkan diri ketika skuad B-22 negara menghadapi kempen Kelayakan Kejohanan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 masing-masing menunjukkan perkembangan positif dan memberi kerjasama dengan baik.

Enam pemain yang dimaksudkan itu adalah Matthew Davies dan Nor Azam Azih (Pahang), S. Kumaahran dan Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang) serta Haziq Nadzli dan Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim).

Skuad B-22 negara memulakan kempen temasya dwitahunan itu pada Isnin depan menentang Brunei di Stadium Shah Alam dan Kim Swee menjelaskan mereka perlu mendapatkan tiga mata daripada perlawanan tersebut bagi memberi menyuntik semangat pasukan.

“Kita perlu memberikan aksi terbaik dalam perlawanan pertama kerana tiga mata amat penting untuk kami, namun penting juga untuk kami agar tidak memandang rendah terhadap Brunei.

“Tiga mata itu cukup penting kerana akan memberi suntikan motivasi kepada pasukan untuk menghadapi perlawanan seterusnya dalam peringkat kumpulan sebelum mara ke peringkat seterusnya,” katanya.