PEP GUARDIOLA dikritik oleh media Jerman kerana meletakkan Thomas Mueller di bangku pemain simpanan dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-juara.

Guardiola dan Bayern kini perlu mencari jalan untuk mengelak di­timpa kekalahan kepada kelab Sepanyol itu dalam separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut selepas tewas dalam pertemuan timbal balik pertama Rabu lalu di Atletico, hasil jaringan solo Saul Niguez pada awal permainan.

Memenangi 14 gelaran dalam tempoh empat tahun di Barcelona dan enam gelaran setakat ini bersama Bayern selama tiga tahun, Guardiola berharap dia dapat meninggalkan Munich dengan menjulang trofi Liga Juara-juara dalam perlawanan akhir di Milan pada 28 Mei ini.

Bayern tersingkir daripada separuh akhir Liga Juara-juara sejak dua tahun lepas setelah tewas kepada Real Madrid pada 2014, kemudian di tangan Barcelona tahun lalu.

Kelab dari Bavaria itu sudah pasti tidak mampu menerima ke­nyataan sekiranya mereka ditimpa kekalahan sekali lagi di tangan pencabar dari Sepanyol, terutama dengan keputusan Guardiola meletakkan bintang Jerman, Thomas Mueller yang merupakan penjaring terbanyak Bayern di pentas Eropah musim ini, dibangku simpanan.

Keputusan tersebut ternyata mendapat kritikan daripada media Jerman dan aksi kedua di Munich bakal menjadi ‘peluru terakhir’ Guardiola untuk membuktikan sebarang kritikan yang dilemparkan adalah salah, sebelum dia memulakan tugas baharu sebagai pengurus Manchester City musim depan.

“Saya telah membaca akhbar Jerman bahawa kerja saya di Munich bakal dinilai, dan tugas tersebut dianggap selesai jika saya memenangi Liga Juara-juara,” kata Guardiola kepada pemberita selepas Bayern menyingkirkan Benfica pada suku akhir.

Kemaraan Bayern sukar untuk disekat di laman sendiri dalam aksi Eropah musim ini, setelah memenangi kesemua lima perlawanan di Allianz Arena, tetapi memerlukan masa tambahan untuk bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum menumpaskan Juventus 4-2 dalam pertemuan kedua di peringkat 16 akhir.

Mereka telah memenangi kesemua 11 perlawanan di laman sendiri di pentas Eropah sejak dibelasah 0-4 oleh Real Madrid di Munich dalam separuh akhir 2014, setelah tumpas 0-1 di Sepanyol.

Namun, sewaktu menyaksikan persembahan Bayern diikat keputusan seri 1-1 dengan Borussia Moechengladbach di laman sendiri Sabtu lalu, mereka kelihatannya tidak berada di prestasi terbaik apabila dibolosi selepas meledakkan gol pendahuluan pada awal permainan menerusi tandukan Mueller. – AFP