Skuad kendalian Guardiola tewas 1-2 dalam aksi suku akhir kedua di Eastland sekali gus kalah 1-5 secara agregat.

Bagaimanapun, pengendali City itu percaya keadaan akan menjadi berbeza sekiranya pengadil perlawanan mengikut rentak mereka dalam dua aksi tersebut.

Liverpool

Selepas tewas 0-3 dalam aksi pertama di Anfield, City terlebih dahulu membuka tirai jaringan dalam aksi yang berlangsung di Etihad menerusi Gabriel Jesus dan Guardiola menyangkakan mereka meraih gol kedua menerusi Leroy Sane selepas itu.

Tetapi jaringan itu dibatalkan kerana Sane berada dalam keadaan ofsaid dan Liverpool kemudiannya meledak dua gol menerusi Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

Guardiola kemudiannya diarah meninggalkan padang pada separuh masa pertama selepas bertengkar dengan pengadil perlawanan, Antonio Miguel Mateu Lahoz.

“Saya kata ia adalah gol selepas bola dihantar kepada Leroy Sane. Atas sebab itu saya diarah keluar padang. Keadaan akan menjadi berbeza sekiranya kami mendahului 2-0.

“Keadaan berbeza ketika Salah menjaringkan gol dalam keadaan ofsaid di Anfield. Sama seperti Gabriel Jesus yang juga berada dalam keadaan ofsaid semasa di Anfield.

“Kedua-dua pasukan adalah seimbang dan pengaruh pengadil perlawanan memainkan peranan penting dalam perlawanan seperti ini,” kata Guardiola.

Pada musim lalu, Mateu Lahoz juga menerima kritikan daripada Guardiola kerana tidak menghadiahkan sepakan penalti kepada City semasa aksi menentang Monaco.-AFP