Keputusan itu membolehkan juara Eropah lima kali, Liverpool melangkah ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun menerusi agregat 5-1 selepas menang 3-0 di Anfield, minggu lalu.

Guardiola juga diarah meninggalkan tempat duduk pemain sejurus tamat babak pertama kerana membantah keputusan pengadil, sebelum menyaksikan pasukan­nya longlai di separuh masa kedua dan kempunan untuk melakar kecemerlangan dalam kancah kelab elit Eropah.

Selepas Gabriel Jesus meletakkan City mendahului 1-0 seawal minit ke­dua, sebelum Leroy Sane meledak gol kedua tuan rumah tetapi jaringannya dibatalkan peng­adil kerana pemain itu dikatakan berada pada kedudukan ofsaid.

“Saya tidak hina pengadil, saya cuma kata Mateu ia (jaringan Leroy) adalah sah. (James) Milner (pemain Liverpool) melakukan hantaran kepada Leroy dan dia menjaringkan gol, malangnya saya yang diarah meninggalkan bangku simpanan pemain,” kata Guardiola kepada pemberita.

Bagi Liverpool, selepas tenggelam pada babak pertama, jaringan Mohamed Salah dan Roberto Firmino di separuh masa kedua bukan sahaja membantu kebangkitan mereka, malah membolehkan Reds muncul kelab pa­ling banyak menjaringkan gol dalam satu musim Liga Juara-Juara atau Piala Eropah dengan 33 gol.

Salah dan Firmino masing-masing menjaringkan lapan gol (Liga Juara-Juara) musim ini untuk meletakkan mereka sebagai penjaring terbanyak Liverpool dalam saingan Eropah pada satu musim, manakala Sadio Mane pula sudah meledak tujuh gol.

“Separuh akhir pasti sukar, 100 peratus. Sekarang kami sudah berada di separuh akhir, jadi kami akan bersama untuk mengharungi detik yang mengujakan ini,” kata pengendali Liver­pool, Jurgen Klopps. – AGENSI