Guardiola menegaskan, Manchester City akan memenangi semua baki lima perlawanan, sekali gus tidak memberi peluang kepada Reds untuk merangkul kejuaraan.

“Kami mengumpul 83 mata ketika saingan berbaki lima perlawanan.

“Pada Disember, Januari dan Februari, kami terpaksa mengharungi satu perlawanan dalam setiap tiga hari.

“Pemain berjaya melepasi halangan itu dengan cemerlang, jadi mengapa kita perlu meragui keupayaan mereka menuju penghujung musim? Kami mempunyai karakter yang diperlukan untuk muncul juara.

“Kami tahu, Liverpool akan memenangi semua baki perlawanan mereka dan kami juga bersedia melakukan perkara yang sama. Nasib kami kini di tangan kami sendiri,” kata Guardiola.

Kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace semalam membolehkan City berada di belakang Liverpool dengan dua mata, namun skuad bimbingan Guardiola itu memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Selain berada pada kedudukan baik untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana, City juga berada pada landasan muncul juara Piala FA dengan mara ke final, selain masih bersaing dalam suku akhir Liga Juara-Juara.

Skuad The Citizens sudahpun memenangi gelaran pertamanya musim ini dengan muncul juara Piala Liga. - AGENSI