Bayern memastikan kemenangan kedua menjadi milik mereka, Rabu lalu setelah menewaskan CSKA Moscow 1-0 dalam aksi Liga Juara-Juara, sebelum membelasah Hanover 96 4-0 pada perlawanan Liga Jerman yang menyaksikan Robert Lewandowski dan Arjen Robben masing-masing meledakkan dua gol.

Bayern jarang sekali berdepan masalah beraksi di laman sendiri dan mendominasi pada pertemuan menentang Hanover dengan Thomas Mueller serta penjaring gol Piala Dunia Mario Goetze diletakkan di bangku simpanan, begitu juga dengan bintang Jerman, Bastian Schweinsteiger yang mengalami kecederaan.

Skuad bimbingan Guardiola masih belum melepaskan walau satu gol dalam tujuh perlawanan terakhir pada semua pertandingan dalam usaha mereka memburu gelaran Bundesliga buat kali ketiga berturut-turut.

"Kami gembira dengan keputusan ini. Hanover berada di tangga ketiga atau keempat dalam carta (sebelum sepak mula) dan meletakkan lima pemain di benteng pertahanan yang mana ia bukanlah satu perlawanan mudah.

"Kami berjaya menjaringkan empat gol, tetapi bilangan tersebut mungkin boleh dicatat lebih daripada itu. Apa yang paling penting adalah dalam setiap permainan kami beraksi, kami mempamerkan peningkatan berbanding perlawanan terdahulu.

"Kami lebih banyak mencaturkan permainan dan kurang berlari, jadi saya gembira dengan cara kami beraksi," kata jurulatih Bayern itu yang telah berada di Munich untuk musim kedua.

Munich berjaya mendahului 2-0 di depan selepas hanya 13 minit perlawanan bermula menerusi gol Lewandowski yang berjaya menerima hantaran jauh sebelum melepaskan rembatan kencang ke sudut bawah gawang pasukan lawan. Gol kedua menyusul hasil jaringan Robben yang melakukan larian melepasi benteng pertahanan Hanover.

Lewandowski sekali lagi meledakkan gol tujuh minit sebelum rehat selepas berjaya mengawal dengan tenang hasil hantaran Juan Bernat dan melepaskan sepakan yang membolosi sudut kiri pintu gol Hanover.

Bayern terus memberi tekanan kepada pasukan pelawat sebaik babak kedua bermula apabila Robben meledakkan gol keempat ketika permainan berbaki 11 minit untuk tamat. - AFP