Jesus yang menyertai Citizens pada Januari 2017, menggalas tanggungjawab sebagai penyerang utama ketika Aguero terpaksa diketepikan ekoran kecederaan dan terlepas banyak perlawanan penting.

Bagaimanapun, Aguero kini berada di tahap terbaik serta mula menyesuaikan diri dengan corak permainan Guardiola seperti dapat disaksikan menerusi jaringan pembukaannya ketika mengalahkan Liverpool 2-1.

Sebaliknya, Jesus bergelut untuk mencapai tahap terbaik selepas pulih daripada kecederaan lutut pada pertengahan musim lalu dan tampil beraksi bersama Brazil dalam Piala Dunia 2018 tanpa menjaringkan sebarang gol.

Pemain berusia 21 tahun itu telah meledakkan lapan gol dalam setiap kejohanan musim ini, namun, berdasarkan persembahan ketika membantu pasukan membenam Rotherham United 7-0 dalam Piala FA, Jesus masih lagi gagal menyempurnakan peluang terhidang.

Jesus berkemungkinan bakal diberikan satu lagi peluang dalam aksi pertama Piala EFL berdepan Burton Albion di Stadium Etihad, dengan Guardiola mengingatkan bekas bintang Palmeiras itu supaya memberikan yang terbaik bersaing dengan penyerang bertaraf dunia seperti Aguero.

“Dia bersaing dengan Aguero. Dalam kelab gergasi, semua pemain bersaing dengan bintang bertaraf dunia. Saya sentiasa mengutamakan apa yang terbaik buat pasukan. Saya akan menurunkan barisan terbaik dalam setiap perlawanan.

“Ramai yang mengatakan hubungan saya dengan Aguero kurang baik, tetapi perkara itu tidak benar. Saya percaya Aguero adalah pemain yang penting ketika dia cergas dan Jesus perlu bersaing mendapatkan tempat,” katanya.

Aguero telah menjaringkan 10 gol dalam 17 aksi Liga Perdana Inggeris, musim ini, dan 14 gol dalam semua kejohanan. - AGENSI