Pengurus Manchester City itu percaya, jika perkara itu dapat dilakukan oleh Sterling, dan bersama kualiti kemahiran dan kepantasan yang dimiliki­nya pemain berusia 26 tahun itu akan menggegar bersama England di Rusia nanti.

“Sebaik sahaja dia berjaya menghasilkan gol dengan lebih banyak, Raheem mampu menjadi salah seorang daripada yang terbaik di dunia. Dia memiliki segalanya sebagai pemain. Dia seorang pejuang, dia seorang yang dinamik dan juga cukup bagus dalam padang. Cuma dia perlu memperbaiki sentuhan penyudahnya sahaja,” kata Guardiola.

Musim ini bersama City, Sterling berjaya menja­ringkan 23 gol dalam semua pertandingan namun pemain kelahiran Jamaica itu gagal menghasilkan gol dalam 20 perlawanan bersama England sejak 2015.

Dia juga tidak pernah terlepas daripada mendapat publi­siti buruk daripada media England yang sering menjadikannya mangsa kritikan setiap kali skuad negara itu gagal atau kalah, atau terbabit dalam kontroversi peribadi.

Kini jurulatih England, Gareth Southgate semakin mula menghargai kemampuan Sterling dengan menyerahkan jersi No. 10 kepadanya sebagai mengiktiraf peranan penting­nya dalam menguasai bahagian tengah untuk bergandingan rapat dengan Harry Kane.

“Memang impian saya untuk menyarung jersi No. 10 untuk England. Saya rasa layak kerana saya pantas dan sepatutnya berada di posisi yang saya mahukan iaitu hampir dengan gol lawan,” kata Sterling. – AFP