Pemain kebangsaan Perancis itu secara purata menjaringkan satu gol setiap dua perlawanan dalam tiga musim terdahulu untuk Atletico, namun kali ini hanya tiga jaringan sepanjang 13 perlawanan di semua pertandingan.

“Saya tidak kisah. Saya gembira dengan prestasi saya. Saya yakin akan ada jaringan selepas ini.

“Satu-satunya masa saya berasa tertekan ketika saya menimang anak perempuan saya.

“Sebaliknya, (menjaringkan) gol perkara biasa yang saya lakukan. Saya tahu bagaimana menjaringkan gol dan ia akan masuk,” kata pemain berusia 26 tahun itu selepas ditemuramah oleh laman sesawang rasmi La Liga.

Jaringan terakhir Griezmann untuk Atletico adalah menerusi penalti menentang Chelsea dalam saingan Liga Juara-Juara pada penghujung September lalu.

Bagaimanapun, pada Jumaat lalu, dia menjaringkan gol dengan cantik menerusi voli bagi membantu Perancis mengatasi Wales 2-0 dalam perlawanan persahabatan.- AFP