Bintang bola sepak yang dimaksudkan ialah kapten Sweden, Andreas Granqvist. Bagi meraikan kejayaan pasukannya, Granqvist memilih untuk menunaikan janji dengan mencukur rambutnya supaya botak.

Dikenali sebagai pemain yang gagal ketika dipinjamkan ke Wigan, dalam sekelip mata Granqvist diangkat sebagai wira negaranya pada malam 13 November 2017 di Milan apabila mereka menyingkirkan Itali untuk merebut slot terakhir ke Piala Dunia.

Pada usia 33 tahun, dia dilihat sebagai kapten terbaik pasukan negaranya dan Granqvist begitu dihormati oleh rakyat Sweden. Kapten sebelum ini ialah Zlatan Ibrahimovic, yang terkenal dengan sikap angkuh dan gemar berbangga diri.

Granqvist pula bertentangan dengan Ibrahimovic, dia seorang pemain yang menunjukkan kepimpinan yang baik dan rakyat Sweden seperti jatuh cinta sekali lagi dengan skuad kebangsaan mereka.

Selepas mengikat Itali dengan keputusan seri 0-0 di San Siro, yang mana ia mengesahkan tempat Sweden di Piala Dunia, Granqvist gagal mengekang air matanya daripada mengalir. Tekanan besar yang dirasakan bagai terlerai daripada bahunya.

Apa sahaja yang Itali lakukan, Granqvist dan gandingannya di posisi bek tengah, Victor Lindelof, akan menjadi penghalang.

“Ramai dalam skuad ini telah berusia, perkara terbesar yang anda boleh cakap sebagai pemain bola sepak ialah beraksi pada Piala Dunia.

“Kami bukan sekadar layak ke Piala Dunia, tetapi menewaskan pasukan bola sepak terbesar di dunia,” kata Granqvist ketika ditemubual selepas perlawanan.

Seminggu selepas kejayaan Sweden itu, Granvist dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Sweden 2017, dan buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun anugerah tersebut gagal dimenangi oleh Ibrahimovic.

Memiliki nama jolokan Gra­nen (Pokok Krismas), Granqvist merupakan pemain pertahanan bersikap old-fashioned yang gemar bertahan dengan mengelongsorkan tubuhnya, menghalang bola menggunakan mana-mana anggota badan atau melakukan tandukan.