Pertahanan England itu menjangkakan dia akan sempat pulih untuk beraksi, musim ini, tetapi terpaksa berehat selama enam minggu. Ini bermakna, Gomez bakal terlepas perlawanan menentang Manchester United, Everton dan aksi timbal balik Liga Juara-Juara dengan Bayern Munich.

Kecederaan tersebut turut meninggalkan persoalan tentang peluangnya untuk disenaraikan dalam skuad England dalam perlawanan akan datang.

Gomez ditimpa kecederaan kaki kanan pada 5 Disember lalu, selepas dia berlaga dengan pertahanan Burnley, Ben Mee, dan ekoran masalah yang dialaminya, pemain itu terpaksa diketepikan selama enam minggu, namun, perkhabaran terbaharu yang diterimanya akan menyebabkan dia terpaksa berehat lebih lama.

Pemain berusia 21 tahun itu, telah mula berlari pada awal Januari lalu, tetapi proses pemulihannya agak perlahan dan selepas mendapatkan nasihat daripada bahagian perubatan Liverpool, Gomez dicadangkan menjalani pembedahan yang merupakan satu-satunya cara untuk dia sembuh.

Gomez bakal menjalani pembedahan di London, hari ini.

“Berita ini satu tamparan hebat buat Gomez sendiri dan juga kami kerana sebelum ditimpa kecederaan, dia berada pada prestasi terbaiknya. Tetapi, dia terlalu bernilai untuk kami ambil risiko ke atasnya, baik pada masa sekarang dan juga masa depan. Jadi, kami berpendapat pembedahan adalah jalan terbaik dan dia akan kembali apabila sudah sembuh nanti.

“Sikapnya sepanjang proses pemulihan cukup bagus, tetapi kecederaannya tidak sembuh, seperti mana yang kami harapkan. Jadi, kami terpaksa campur tangan dan selepas itu, dia akan kembali ke pangkuan pasukan,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp kepada laman web kelab.

Gomez sendiri mengakui, berita tersebut merupakan sesuatu yang amat sukar untuk diterimanya, tetapi akur ia berada di luar kawalannya.

“Cukup jelas, saya terpaksa diketepikan lebih lama berbanding yang kami harapkan. Ia memang sukar diterima, tetapi inilah sebahagian daripada asam, garam dalam sukan bola sepak,” katanya. - AGENSI