Walaupun beraksi di laman sendiri namun Everton bermula dengan hambar malah gawang mereka hampir dibolosi oleh percubaan Ayoze Perez selepas me­nerima hantaran daripada Kenedy.

Gol Everton dihasilkan selepas Yannick Bolasie membuat hantaran dari kanan sebelum bekas pemain Arsenal, Walcott meledak gol kemenangan untuk membantu The Toffees mengutip 45 mata daripada 35 perlawanan.

Newcastle cuba bangkit pada minit terakhir permainan bagaimanapun mereka gagal untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata berharga dan kekal de­ngan 41 mata, 12 di atas zon pe­nyingkiran.

“Jika kami terus melakar kemenangan saya fikir dengan berada di kedudukan kelapan berban­ding lima pasukan tercorot sudah membuktikan kami menunjukkan peningkatan,” kata bos Everton, Sam Allardyce.

Allardyce mengambil alih pa­sukan pada November lalu, dan walaupun berjaya mengubah kedudukan kelab tersebut namun kebanyakan peminat Everton percaya pendekatan yang digunakan oleh jurulatih itu kurang menjadi.

“Apa salahnya dengan cara kami bermain? Kami mendominasi permainan, mematahkan hantaran lawan. Anda perlu bersabar.

“Dalam bola sepak, anda tidak boleh memaksa. Anda boleh kritik hantaran yang kami lakukan tetapi anda tidak boleh salahkan saya kerana bukan saya yang melakukan hantaran. Kami cuba mengurangkan kesilapan setiap minggu,” kata jurulatih berusia 63 tahun itu lagi.

Sementara itu, jurulatih Newcastle, Rafael Benitez yakin pa­sukannya mampu untuk kekal dalam EPL pada musim depan.

“Kami pasukan kuat. Kekal dalam EPL merupakan sasaran kami dan diharapkan kami dapat melakukannya,” katanya. – REUTERS