Pengurus Brighton, Chris Hughton akhirnya boleh menarik nafas lega selepas skuad bimbingannya mengutip tiga mata penting yang merupakan kemenangan sulung mereka dalam aksi liga sejak menewaskan Manchester United 3-2, Ogos lalu.

“Sebaik perlawanan bermula, kami memburu tuah yang ternyata berpihak kepada kami, dan kadang kala anda memang amat memerlukannya. Ini merupakan kemenangan pertama tanpa bolos pada musim ini dan anda juga memerlukan penjaring gol. Kemenangan ini amat besar untuk kami,” kata Hughton kepada Sky Sports.

Gol ke-99 Murray untuk Brighton dalam semua pertandingan telah membantu pasukannya berada di kedudukan ke-12 dengan lapan mata, sementara West Ham yang memenangi dua daripada tiga perlawanan mereka sebelum ini, menghuni tempat ke-15 menerusi tujuh mata.

West Ham mendominasi pertemuan tersebut tetapi gerakan mereka berjaya dipatahkan lawan dan Brighton memanfaatkan peluang yang mereka peroleh apabila Murray yang berusia 35 tahun menyumbat gol tunggal perlawanan hasil hantaran silang Beram Kayal pada minit ke-25.

Sementara itu, bos West Ham, Manuel Pellegrini melahirkan rasa kecewa di atas kekalahan yang menimpa skuad bimbingannya.

“Kecewa kerana saya fikir kami telah melakukan segala-galanya untuk melakar kemenangan, kami memperoleh tiga peluang terbuka untuk menjaringkan gol dan malangnya kami gagal berbuat demikian.

“Pasukan lawan pula hanya memiliki satu peluang dalam separuh masa pertama dan selepas itu, mereka hanya bertahan. Kami berhak untuk mencatat keputusan yang lebih baik,” katanya kepada BBC. - REUTERS