Penyerang Tottenham itu gagal menjaringkan gol dalam tujuh penampilan terakhir, namun hari ini dia muncul penyelamat dengan meledak gol lima minit sebelum tamat permainan untuk membawa England menjuarai Kumpulan A4.

Terdahulu, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan Andrej Kramaric pada minit ke-57 tetapi pemain gantian, Jesse Lingard menggunakan keadaan kelam kabut di depan pintu gol Croatia dengan menolak gol penyamaan pada minit ke-78.

Tiga mata yang diraih membolehkan England menamatkan kempen di tangga teratas dengan tujuh mata, diikuti Sepanyol enam mata dan Croatia empat mata.

Croatia, naib juara dunia 2018 kini tersingkir ke Liga B.

"Perlawanan ini benar-benar menguji kesabaran pemain. Kami menunjukkan permainan baik, selain turut dibantu faktor tuah.

"Saya bangga dengan apa yang telah dilakukan pemain kami, bukan sahaja hari ini tetapi sepanjang tahun. Sudah lama saya tidak merasai suasana yang begitu hebat di Wembley," kata pengendali England, Gareth Southgate.

Tahun 2018 adalah musim cemerlang buat bola sepak England. Mereka sebelum ini turut mara ke separuh akhir Piala Dunia di Rusia, Julai lalu.

Kemenangan hari ini melunaskan dendam terhadap Croatia, pasukan yang menyingkirkan mereka dalam Piala Dunia.

Laungan 'Football's Coming Home' bergema di Stadium Wembley sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan.

"Suasana sangat menakjubkan. Saya tidak pernah lihat situasi seperti ini di Wembley. Sokongan peminat membuatkan kami rasa amat bangga.

"Kami mula dipandang sejak Piala Dunia, dan saya sering memberitahu rakan-rakan, kalau kita hendak terus dihormati, kita kena mengalahkan pasukan besar," kata Kane kepada Sky Sports. - AGENSI