Beraksi di depan ribuan penyokong Harimau Malaya sudah memberi tekanan dan jurulatih Myanmar, Antoine Hey berkata sebaik sahaja Malaysia mendahului permainan hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha telah menjadi punca kepada pemainnya kehilangan fokus sekali gus menyebabkan dua lagi gol terhasil menerusi Zaquan Adha Abd. Radzak.

“Tahniah kepada Malaysia kerana menang pada malam ini (semalam) dan seterusnya layak ke separuh akhir Piala AFF. Ini bukan perlawanan terbaik kami, itu sudah pasti.

“Kami bermula dengan te­ruk kerana walaupun kami dihidang­kan beberapa peluang terbaik pada 10, 15 minit pertama namun pemain tidak menterjemahkannya.

“Kami tahu kami sepatutnya elak daripada terlebih dahulu dibolosi kerana itu akan membuatkan penyokong semakin ghairah. Kami merancang untuk cuba mendapatkan gol menerusi gerakan serangan balas dan itu mungkin terhasil jika kami bermain dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini semalam.

Myanmar yang memerlukan sekurang-kurangnya satu mata terpaksa akur dengan kekalahan tersebut dan mereka menamatkan saingan kumpulan di tangga ketiga. Malaysia muncul naib juara di belakang Vietnam yang menewaskan Kemboja 3-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan A, semalam.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan tersebut, jurulatih dari Jerman itu berkata pemainnya cuba mengurangkan defisit gol, bagaimanapun selepas dibolosi buat kali ketiga, Malaysia telah mematikan rentak permainan anak-anak buahnya.

“Kami cuba cari gol di babak kedua untuk bangkit dan banyak peluang yang kami ada tetapi tidak disudahkan dengan baik. Gol ketiga dibolosi kerana pemain sudah hilang fokus akibat kepenatan.

“Yang pastinya, hari ini bukan milik kami dan saya tidak salahkan pemain kerana mereka sudah berusaha yang terbaik. Kami tahu Malaysia kuat di laman sendiri dan pemain saya tidak biasa dengan atmosfera seperti ini dan itu realitinya,” katanya lagi.