Giroud menamatkan kemarau gol dalam 11 perlawanan, musim ini, setelah meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-53, dan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu terpaksa bertahan dalam perlawanan yang turut menyaksikan percubaan BATE sebanyak tiga kali mengenai palang gol.

“Saya memang amat berharap dapat menjaringkan gol kerana saya pulang daripada Piala Dunia agak lewat dan permainan saya kurang efisien serta tuah tidak berpihak kepada saya. Tetapi anda perlu sentiasa bekerja keras serta mengekalkan keyakinan diri dan itu yang berlaku malam ini,” kata penyerang Perancis, Giroud kepada BT Sport.

Sementara itu, skuad bimbingan Steven Gerrard, Rangers terpaksa menyaksikan rekod 11 perlawanan tanpa kalah tahun ini berakhir dalam perlawanan yang berlangsung cukup dramatik pada Liga Europa setelah tumpas 3-4 kepada Spartak Moscow.

Rangers mempersiakan peluang mereka untuk melakar kemenangan selepas mendahului Spartak sebanyak tiga kali.

Kedua-dua pasukan menerima manfaat hasil jaringan sendiri dalam perlawanan berlangsung sengit pada babak pertama yang berkesudahan Glenn Middleton meletakkan kelab Scotland itu mendahului 3-2, tetapi Luiz Adriano dan Sofiane Hanni membolosi gawang Rangers dalam tempoh 71 saat bagi menghadiahkan kemenangan kepada Spartak. - AFP