Penyerang Lebanon tersebut menyertai JDT dengan reputasi besar selaku penjaring terbanyak Liga Super pada Mei tahun lalu, namun memilih untuk pulang ke pangkuan The Red Warriors (TRW).

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pemain yang sinonim dengan jersi No. 22 itu dibawa masuk menggantikan Magaro Gomis yang mengalami kecederaan.

Menurutnya, penjaring terba­nyak Liga Super 2017 itu akan tiba pada Khamis ini bagi menggalas cabaran bersama TRW nanti.

“Alhamdulillah, kita sudah berjaya lengkapkan pendaftaran pemain ini malam tadi sebelum tarikh tutup.

“Kita harap, kehadiran Ghaddar mampu memberikan impak yang lebih positif buat pasukan selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ghaddar, 34, sebelum ini melakar sejarah baharu dalam kancah Liga M apabila yuran perpindahannya mencecah RM1.2 juta.

Sepanjang mewakili Kelantan dia berjaya meledakkan 18 gol dalam 12 perlawanan.

Bibi Ramjani memberitahu, Ghaddar juga telah bersetuju de­ngan tawaran yang dikemukakan KAFA dan dia sudah menandatangi kontrak bersama TRW.

Katanya, bukan itu sahaja menurut ejen Ghaddar, pemain tersebut sudah bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pasukan.

“Jadi KAFA mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat pemain berkenaan,” ujarnya.

Mengulas mengenai Gomis, Bibi Ramjani berkata, khidmat pemain tersebut terpaksa dilupakan selepas dia mengalami kecede­raan.

Katanya, bukan itu sahaja prestasi semasa pemain import yang membarisi TRW musim ini akan dipantau dari semasa ke semasa.

“Mana-mana pemain yang tidak menunjukkan prestasi sebanar berkemungkinan akan disingkirkan pada pintu perpindahan pemain kedua nanti,” katanya.

Musim ini, Kelantan dibarisi lima tonggak import iaitu Gomis, Ferdinand Sinaga (Indonesia), Do Dong-Hyun (Koera), Cassio De Jesus (Brazil) dan Bruno Lopes (Brazil).