Perkara tersebut didedahkan sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang turut memaklumkan bahawa Ghaddar telah mengadakan rundingan dengan JDT.

Sumber itu berkata, difahamkan rundingan antara mereka sudah memasuki fasa akhir dan keputusan mengenai perpindahan itu dijangka dimuktamadkan ketika tempoh perpindahan kedua, yang mula dibuka esok.

“Apa-apapun kita tunggu pengumuman rasmi daripada penaung skuad TRW (The Red Warriors), Tan Sri Annuar Musa mengenai masa depan Ghaddar. Kita tidak mempunyai hak untuk halang Ghaddar jika dia mahu berhijrah.

“Kehadiran Ghaddar ke Stadium Shah Alam dalam aksi persahabatan malam semalam berkemungkinan penampilan terakhir pemain berkenaan bersama TRW,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam akhbar ini melaporkan penyerang kelahiran Lebanon itu mengesahkan bahawa dia akan terus kekal beraksi bersama Kelantan hingga tamat musim 2017.

Bagaimanapun, Annuar dalam satu klip video di laman sosial ketika berinteraksi de­ngan penyokong Kelantan selepas pertemuan persahabatan TRW dengan PKNS di Shah Alam memaklumkan bahawa Ghaddar mohon dilepaskan.