Skuad bimbingan Massimiliano Allegri itu akan menerima kunjungan Fiorentina di Turin untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata, bagi mengesahkan kejuaraan liga musim ini milik mereka dan ke-35 secara keseluruhan.

Apa yang perlu dilakukan Juventus selepas tewas mengejut 1-2 di tangan Ajax dan tersingkir 2-3 secara agregat ialah memastikan kekecewaan itu tidak terbawa-bawa dalam perlawanan menentang Fiorentina tersebut.

Paling penting adalah Cristiano Ronaldo yang perlu bangkit daripada kesedihan kerana gagal membawa Juventus lebih jauh, walaupun, telah mencuba sebaik mungkin termasuk menjaringkan gol penting ketika bertemu Ajax.

“Dia beritahu saya, dia tidak boleh sentiasa melakukan keajaiban. Dia benar-benar sedih kerana fokus adalah layak ke final. Mungkin lain kali masanya,” kata ibu Ronaldo, Dolores Aveiro kepada media Portugal.

Ronaldo, 34, yang kini menyepi daripada sebarang media sosial kerana kecewa dengan kekalahan kepada Ajax dijangka akan tetap diturunkan menentang Fiorentina sebagai peluang menebus kekecewaan yang dialaminya itu.

Begitupun, Fiorentina tidak semudah itu memberikan laluan sebaliknya sedang merancang untuk menambah derita Juventus dengan jurulatihnya, Vincenzo Montella menjangkakan satu perlawanan sengit akan berlangsung.

"Saya meramalkan Juve seperti singa terluka kerana mereka sudah pasti mahu bermula dengan gol awal. Tetapi kami tidak gentar menghadapi mereka,” kata Montella. - AFP