“Akhirnya!,” menjadi tajuk berita utama akhbar yang berpangkalan di Madrid, Marca yang selama ini di­dominasi berita bola sepak, malah laporan menjelang perlawanan Liga Juara-Juara antara Real Madrid dan Bayern Munich yang akan berlangsung esok juga tewas kepada Garcia.

“Sergio Garcia menjuarai Masters di Augusta, gelaran utama yang berhak dimenangi sejak 18 tahun lalu,” tulis akhbar itu lagi.

Garcia, 37, muncul pemain Sepanyol ketiga disarungkan jaket hijau selaku juara Masters selepas Jose Maria Olazabal (1999, 1994) dan legenda golf, Seve Ballesteros (1983, 1980).

“Pada usia 37 tahun, Sergio menamatkan sumpahan hampir dua dekad sejak kali terakhir muncul naib juara USPGA selepas tewas kepada Tiger Woods di usia 19 tahun,” tulis akhbar sukan AS.

“Kemenangan Masters 2017 merubah persepsi dunia tentang pemain golf Sepanyol,” tulis El Pais pula.

Garcia mengalahkan pemain England, Justin Rose dalam playoff selepas kedua-dua pemain terikat dengan sembilan bawah par 279.

Kemenangan amat bermakna buat pemain itu selepas empat kali sekadar muncul naib juara kejohanan utama, selain 73 kali mencuba sejak dua dekad lalu.

“Rakan-rakan yang dikasihi, saya perkenalkan kepada anda juara Masters di Augusta!! [email protected],” tulis kapten bola sepak Sepanyol yang merangkul Piala Dunia 2010, Iker Casillas dalam Twitter.

“Ia sangat [email protected] Detik yang penuh emosi selepas beberapa tahun bekerja keras! Tahniah, ia cukup menggembirakan,” tulis pemilik 14 gelaran tenis Grand Slam, Rafael Nadal pula. – AGENSI