Leicester akan mencuba satu lagi pilihan untuk dijadikan senjata iaitu lontaran jauh, taktik yang membantu mereka mengikat Crystal Palace 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin.

Dalam perlawanan di Selhurst Park, Christian Fuchs melakukan lontaran dari tepi padang terus ke kawasan penalti lawan, dan bola pantas disambut Robert Huth yang melakukan tandukan cantik untuk gol pembukaan The Foxes.

Jurulatih Leicester, Craig Shakespeare bersedia mengubah posisi Fuchs dari benteng pertahanan ke bahagian tengah bagi membolehkan pemain Austria itu memaksimumkan lontarannya apabila berdepan Atletico.

“Ia (lontaran jauh Fuchs) mampu menjadi senjata paling berbahaya. Lontarannya kadangkala le­bih tepat daripada sepakan penjuru.

“Kami pernah menjaringkan beberapa gol daripada situasi itu. Ia pernah digunakan sebelum ini dan bersedia digunakan sekali lagi.

“Mereka (Atletico) mungkin agak asing dengan lontaran sebegitu, jadi ia akan memberi ke­lebihan kepada kami,” kata pemain tengah Leicester, Danny Drinkwater.

Sementara itu, pemain sayap Palace, Joel Ward mengakui, lontaran jauh Leicester sukar dibaca dan mampu menjadi ancaman buat Atletico.

“Lontaran jauh mereka memang sukar ditangani. Anda kena cuba dapatkan bola terlebih dulu dan ia tidak mudah,” kata Ward.

Selepas kalah tipis 1-0 pada suku akhir pertama minggu lalu, penyerang Leicester, Jamie Vardy bersedia untuk mengetuai kebangkitan pasukannya di laman sendiri, apatah lagi selepas turut menjadi penyumbang gol ketika bertemu Palace.

“Kami tidak harus meragui keupayaan sendiri dan kami tahu apa yang boleh dilakukan pasukan ini apabila beraksi di depan penyokong sendiri.

“Selain penyokong Leicester, kami juga mendapat sokongan peminat bola sepak Inggeris kerana kami satu-satunya wakil England yang masih bersaing, jadi ini juga memberi motivasi,” kata Vardy.

Jurulatih Atletico, Diego Simeone pula percaya, peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50, walaupun anak-anak buahnya menguasai aksi di Stadium Vicente Calderon, Selasa lalu dan melakar kemenangan hasil gol tunggal Antoine Griezmann.

“Saya percaya mereka akan melakukan apa sahaja pada perlawanan kedua. Pertemuan kali ini pasti lebih sukar.

“Kami juga menjangkakan, persekitaran bola sepak Ing­geris akan menjadikan perlawanan bertambah sukar. Peluang 50-50 dan tiada pasukan yang dianggap pilihan,” katanya.

Pada pusingan terdahulu, Leicester bangkit daripada kekalahan 2-1 kepada Sevilla dalam perlawanan pertama dengan mencatat kemenangan 2-0 pada aksi timbal balik di tempat sendiri untuk layak secara agregat 3-2. – AGENSI