Sememangnya tidak terjangkau pada akal fikiran, tetapi boleh menjadi realiti yang menakutkan bagi juara bertahan tersebut melainkan mereka perlu mencipta kemenangan ke atas Sweden, hujung minggu ini.

Sekurang-kurangnya mereka menyedari di manakah bahaya tersebut bakal hadir. Pencetus kreativiti dan juga ancaman terbesar yang bakal wujud daripada skuad bimbingan Janne Andersson itu, dijelmakan oleh Emil Forsberg, salah seorang pemain berbakat besar di Eropah.

“Saya merupakan peminat Emil Forsberg, dia seorang pemain yang hebat,” kata pertahanan Jerman, Mats Hummels, hari ini, apabila ditanya adakah terdapat pemain di dalam skuad Scandinavians itu yang layak berada di dalam kesebelasan utama Piala Dunia.

Pertahanan Bayern Munich, Hummels dan rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Jerman merupakan individu yang layak memberikan ulasan tentang kepakaran yang dimiliki Forsberg.

Pemain berusia 26 tahun itu hadir ke Rusia dengan berbekalkan prestasi cemerlang bersama RB Leipzig dalam saingan Bundesliga, dan pada Ahad ini di Stadium Fisht, dia bakal turun beraksi menentang skuad Jerman yang turut dianggotai rakan sepasukan kelabnya, Timo Werner.

Jerman hadir ke Sochi untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan dalam masa sama cuba mengelak bercakap tentang krisis yang menimpa pasukan ekoran kekalahan mengejut 0-1 di tangan Mexico, dalam usaha mereka mempertahankan trofi yang dimenangi.

Berbeza pula dengan Sweden, yang mengejutkan Itali dalam saingan play-off bagi melayakkan diri ke Piala Dunia, membawa bekalan selesa selepas menewaskan Korea Selatan 1-0.

Jika Mexico menewaskan Korea Selatan, esok, maka keputusan seri yang dicatat Sweden menentang Jerman mungkin menjerumuskan skuad bimbingan Joachim Loew kepada penyingkiran awal Kumpulan F, memandangkan Sweden hanya bertemu Mexico dalam perlawanan terakhir dan satu mata buat kedua-dua pasukan sudah memadai untuk mereka melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki segera oleh Jerman selepas mempamerkan persembahan kurang meyakinkan dalam aksi pembukaan. Apa yang lebih membimbangkan benteng pertahanan yang terdedah, dengan Joshua Kimmich mempamerkan prestasi goyah selaku bek kanan.

Forsberg, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris, tidak menyerlah ketika menentang Korea Selatan selepas Sweden melakar kemenangan menerusi penalti Andreas Granqvist. Jadi, Forsberg mungkin berasakan dia perlu membuktikan sesuatu pada pertemuan menentang Jerman.

“Kami tidak bermain seperti Mexico, kami merupakan pemain yang berbeza. Kami perlu beraksi mantap ketika mememangi bola, dan mempamerkan corak permainan menyerang, mencipta peluang serta menguasai bola selama mungkin,” kata kapten, Granqvist sewaktu mengulas mengenai pertemuan itu. – AFP