Juara Perancis itu akan bertandang ke Old Trafford dalam perlawanan timbal balik pertama peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara sebentar lagi.

PSG akan beraksi tanpa dua tonggak mereka Edinson Cavani dan Neymar yang ditimpa kecederaan. Masalah tersebut memaksa ketua jurulatih, Thomas Tuchel melakukan rombakan pemain dan formasi skuad bimbingannya.

Menurut Yahoo Sports Perancis, PSG akan meletakkan Marco Verratti dan Marquinhos di posisi tengah dalam usaha kelab Liga 1 itu menyekat serangan United.

Anthony Martial, Marcus Rashford, Romelu Lukaku dan Paul Pogba berada pada prestasi terbaik sejak Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih pasukan, Disember lalu dan mengintai peluang untuk meneruskan rentak kemenangan mereka.

PSG pula mensasarkan untuk memenangi Liga Juara-Juara, musim ini, tetapi impian mereka itu berdepan dengan isu kecederaan yang melanda pemain utama.

Neymar bakal terlepas kedua-dua aksi timbal balik, manakala Thomas Meunier dan Cavani hanya ditimpa kecederaan, hujung minggu lalu.

Julian Draxler dijangka berada dalam kesebelasan utama yang jarang sekali diperolehnya, sementara, pemain pertahanan, Dani Alves akan meneruskan khidmatnya di posisi tengah di belakang penyerang, Kylian Mbappe.

Angel di Maria yang akan beraksi menentang bekas kelab lamanya, tetapi United dijangka memiliki kelebihan ke atas skuad lemah PSG bagi mendapatkan bekalan selesa sebelum bertandang ke Paris dalam timbal balik kedua, 6 Mac ini.

“Ini merupakan ujian buat pasukan. Tidak sukar sangat untuk menyusun kesebelasan utama, itu yang saya boleh katakan. Kami sangat tidak bernasib baik pada ketika ini keranan kehilangan dua tonggak. Sekurang-kurangnya akan masih ada Pelan D,” kata Tuchel. - AGENSI