Argentina mencatat kemenangan 1-0 ke atas musuh tradisinya Brazil di Australia pada Jumaat lalu yang merupakan tugasan pertama Sampaoli selaku jurulatih skuad itu, sebelum mencipta lebih banyak gol di Stadium Nasional Singapura.

Bekas pengendali Chile dan Sevilla itu membentuk skuad dengan formasi luar biasa, 2-3-4-1, malah salah seorang daripada dua pemain pertahanan iaitu Federico Fazio membuka jaringan sebelum Joaquin Correa menggandakan kelebihan skuad Albiceleste sebelum rehat.

Angel Di Maria dan Lucas Alario bersama de­ngan kemunculan pertama Alejandro Gomez dan Leandro Paredes masing-masing mencipta jari­ngan untuk membuatkan jurulatih itu tersenyum lebar dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih di atas kebolehan pemain dan kesanggupan besar mereka mengambil idea baharu dan melaksanakannya.

“Dua perlawanan yang sangat berbeza, dua pesaing yang sangat berbeza dengan ciri-ciri yang berbeza. Jadi, apa yang saya paling hargai adalah pemain memberikan segala usaha mereka untuk bermain dengan hebat.

“Bagi saya, ini adalah permulaan baik untuk segala-galanya yang akan datang. Pasukan mempunyai keyakinan besar sepanjang 90 minit, dalam kawalan yang kukuh.” kata Sampaoli.

La Albiceleste akan mengharungi aksi kompetitif dalam kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay dan Venezuela pada Ogos dan September. – AGENSI