PENGARANG Eksekutif Berita Utusan Malaysia, Johardy Ibrahim (kanan) menemubual Sami Hyppia di pusat beli-belah 1 Utama di Petaling Jaya, semalam.

Bergandingan dengan seorang lagi legenda kelab, Jamie Carragher, kedua-dua mereka membentuk pertahanan kental sehingga memenangi piala idaman ramai itu, yang merupakan kali kelima untuk Liverpool FC.

Selama 10 musim bersama kelab, Hyypia membuat 464 penampilan dan menjaringkan 35 gol, memenangi 10 piala, meletakkannya di tangga ke-38 di dalam kaji selidik 100 Pemain Yang Mengegar Kop; tangga ke-45 100 Pemain Asing Terbaik majalah FourFourTwo dan di tangga ke-19 `Top 50 Pemain Asing Terbaik di Liga Perdana’ Sky Sports.

Selepas tamat era bermain, Hyypia meneroka pengalaman menjadi jurulatih dan pengurus dengan kali terakhir bersama FC Zurich pada 2016. Beliau kini aktif sebagai duta kelab Liverpool dan turut serta di dalam acara LFC World anjuran Standard Chartered Bank bersama dua lagi pemain legenda, Steve McManaman dan Jason McAteer di pusat beli-belah 1 Utama di Petaling Jaya sehingga Ahad ini.

Ikuti wawancara 5 soalan Hyypia bersama Pengarang Eksekutif Berita Utusan Malaysia, Johardy Ibrahim:

Kerap juga anda terlibat dalam program LFC World. Apa kenangan menarik sepanjang anda sertai program LFC World?


Banyak. Di Malaysia contohnya, saya belajar cara-cara membuat roti canai dan teh tarik. Saya tidak berapa minat teh. Saya ambil kopi. Teh campur susu sangat manis. Saya kena jaga badan.
 

Anda sudah memenangi Liga Juara-Juara UEFA pada 2005. Bagaimana anda menguruskan tekanan ketika itu dan apa bezanya sekarang?

Ada yang kata tekanan sekarang lebih tinggi. Tidak juga. Ia sama sahaja. Setiap pemain akan membuat persediaan sebaik mungkin untuk beraksi. Penyokong tidak mengharapkan benda lain selain aksi terbaik mereka.

Ada pemain yang boleh menguruskan tekanan secara lebih bagus berbanding yang lain. Biasanya dalam sesebuah pasukan, akan ada mereka yang berperanan sebagai ketua. Mereka akan membantu. Bagi Liverpool, pengalaman ke final musim lalu juga membantu.

Apakah anda rasa Liverpool boleh memenangi kejuaraan Liga Perdana?

Ahad ini adalah perlawanan penting bagi Liverpool. Menentang Cardiff wajar menjadi fokus pemain sekarang, bukan Barcelona. Agak malang jika Liverpool menang semua baki perlawanan tetapi masih tidak dapat menyingkirkan Manchester City. Soal kita mengharapkan ‘bantuan’ Tottenham juga sulit sebab selepas tewas di suku akhir, City mungkin akan lebih berazam untuk muncul juara.

Seandainya diputarkan waktu, apakah anda rasa boleh berpasangan dengan Virgil van Dijk?

Saya rasa dia akan menjadi rakan yang hebat. Tentunya saya berminat untuk bermain bersama dia. Dia sememangnya pemain yang hebat, namun di zaman saya, saya bernasib baik kerana dapat beraksi dengan ramai pemain yang bagus.

Bagaimana dengan aspek pengurusan kelab?

Saya masih berminat dan suatu hari nanti, saya mahu mengurus lagi. Cuma buat masa ini, saya belum tahu bila.