FMLLP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedia berbincang dengan mana-mana pasukan bagi memberi pertolongan terhadap permasalahan yang dihadapi namun jika mereka tidak tampil ke hadapan, bagaimana masalah itu dapat diselesaikan?

“Berkenaan KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) yang mempunyai masalah kewangan, mereka sepatutnya berhubung dengan FMLLP untuk menjelaskan situasi dan pastinya FMLLP akan membantu dan membuat pertimbangan sewajarnya tetapi malangnya tiada usaha telah dibuat oleh KAFA berhubung isu ini.

“KAFA juga sepatutnya berbincang dengan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), Perkeso dan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) untuk merancang pelan pembayaran secara ansuran dan pastinya FMLLP akan mempertimbangkan perkara ini. Sekali lagi ditegaskan, tiada usaha dari KAFA untuk berbincang bersama FMLLP.

“Kesimpulannya adalah mudah. Untuk mendaftar, berikan kepada FMLLP dokumen seperti yang telah disyaratkan. Tiada dokumen, bermakna pendaftaran tidak lengkap dan akan didenda seperti pemotongan enam mata pasukan serta sekatan perpindahan.

“Peraturan yang wujud adalah untuk kesemua pasukan. Kalau pasukan lain yang dikenakan pemotongan mata boleh melengkapkan dokumen pendaftaran, kenapa Kelantan tidak boleh? Jadi, janganlah memutarbelitkan fakta dan mempolitikkan perkara ini,” kata FMLLP dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan penaja utama The Red Warriors (TRW), Tan Sri Annuar Musa terus meluahkan rasa kecewanya apabila mendakwa FMLLP tidak memberikan keadilan buat pasukan berkenaan.

Annuar berkata, badan induk yang menguruskan perjalanan Liga M tidak sepatutnya terus mengambil tindakan sesuka hati sebaliknya perlu mempunyai timbang rasa.

Menurutnya, TRW tidak diberi peluang untuk melakukan rundingan atau perbincangan agar pihak terbabit dapat memahami situasi sebenar.