Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, penelitian itu akan dilakukan oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

"Mengenai jadual untuk tahun depan oleh kerana FAM tidak mahu ada lagi masalah yang terjadi pada tahun ini macam yang dialami pasukan kebangsaan ekoran sesetengah pasukan tidak mahu lepaskan pemain, saya bincangkan tadi untuk pihak FMLLP kaji semula dengan jadual pertandingan.

"Ia bagi memberi lebih ruang dan keutamaan kepada pasukan kebangsaan," katanya selepas Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Eksekutif FAM sesi 2017-2021, di sini hari ini.

Ditanya pemberita bagaimana sekiranya keadaan yang sama masih berlaku, Tunku Ismail berkata, ia hanya boleh diubah berdasarkan jadual pasukan malah pasukan JDT juga mengalami masalah yang sama.

"Pasukan saya juga payah untuk lepaskan pemain sebab jadual yang padat tetapi saya akan bincang dangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga untuk tengok jadual yang paling sesuai pada tahun depan," katanya.

Sementara itu, Tunku Ismail berkata, berikutan mesyuarat hari ini, pihak FAM telah merancang pelbagai program untuk mengumpul dana dan mendapatkan tajaan daripada syarikat swasta bagi membantu setiap pasukan yang akan bertanding dalam liga tempatan.

Katanya, ramai pihak yang telah mengetahui bahawa FAM mengalami masalah kewangan dan beliau berharap agenda yang dicadangkan mampu memulihkan keadaan kerana keutamaannya adalah untuk menjaga kewangan badan induk itu.

Selain itu, mesyuarat itu turut membincangkan hala tuju program pembangunan sukan, pasukan utama serta pertandingan-pertandingan yang bakal berlangsung dalam negara. - BERNAMA