Seramai 19 pemain kelahiran Brazil beraksi dalam liga utama di England dan bakal menyambut perayaan Krismas yang begitu jauh berbeza suasananya berbanding di tanah air mereka.

Dengan suhu dijangka serendah 8 darjah celsius pada sambutan Krismas, keadaan tersebut begitu ketara berbeza di Rio de Janeiro dengan suhu 30 darjah celsius. Namun, penyerang Liverpool, Roberto Firmino berkata, dia seronok menikmati perayaan itu mengikut tradisi masyarakat di England yang menjadikan perlawanan bola sepak sebagai festival.

Penyerang kelahiran Maceio iaitu sebuah negeri persisir pantai di Alagoa itu mempunyai kenangan manis zaman kanak-kanaknya menyambut Krismas di pantai. Namun, dia berkata, pohon Krismas dan salji sudah memadai menjadi pengganti.

“Bagi saya, Krismas di England sangat berbeza dengan apa yang saya lalui di Brazil, kebanyakan sebabnya ialah kami perlu berada di atas padang. Namun, saya berada di sini sejak 2015 dan saya sudah terbiasa bermain pada tarikh berkenaan.

“Sewaktu saya bermain di Jerman, liga di negara itu berhenti rehat, tetapi di sini kami perlu bermain, jadi peminat boleh menikmati Krismas dengan cara yang lebih baik. Saya tidak kisah langsung kerana kami bermain untuk mereka (peminat),” kata Firmino.

Bagaimanapun, bintang Reds itu mengakui, tiada jauh perbezaan dengan caranya menyambut Krismas di Brazil mahupun di England.

“Sambutan Krismas saya di sini, sewaktu tidak beraksi iaitu ketika di rumah dengan keluarga, akan ada banyak makanan dan produk dari Brazil. Sudah tentu kami saling bertukar hadiah. Cuma di Brazil, Krismas diraikan dengan cara lain.

“Cuaca yang panas dengan suasana di pantai turut menyaksikan pakaian yang digayakan juga berbeza. Ia jauh bertentangan. Apa yang penting ialah keluarga berada di samping anda. Tetapi saya seorang yang profesional dan anda perlu menyesuaikan diri dengan tempat kerja anda. Saya seronok di sini,” ujarnya.– AGENSI