Mat Sport
Mat Sport

Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) sebagai pihak bertanggungjawab yang menguruskan perlawanan akhir itu sepatutnya perlu memberi kerjasama dengan baik kepada media yang hadir untuk membuat liputan pada perlawanan akhir tersebut.

Mana tidaknya, kad akreditasi yang sepatutnya diagihkan kepada media sehari sebelum perlawanan akhir gagal diberi lebih awal sebaliknya mereka perlu mengambil kad tersebut pada hari perlawanan. Bukankah itu menyusahkan media terutamanya wartawan yang terpaksa hadir awal ke stadium.

Sudahlah lambat Mat diberitahu kad akreditasi tersebut tidak berkualiti malah pengamal media terpaksa menebuk sendiri lubang pada kad tersebut. Aduh. Macam manalah mereka buat kerja. Menyusahkan orang betul.

Tidak cukup dengan itu, mat juga diberitahu ada penyokong yang menonton perlawanan tersebut duduk di tempat media. Macam mana mereka boleh masuk ke kawasan media? Tiada orang jagakah? Bagi mat, penyokong tidak sepatutnya berada di tempat media dan jika apa-apa berlaku siapa yang akan bertanggungjawab?

Mat juga dapati tiada pengisian program sepanjang sebelum perlawanan berlangsung. Mana tidaknya, tiada sebarang persembahan diadakan sebelum sepak mula, cuma persembahan gendang sahaja. Itu pun 20 minit sebelum perlawanan bermula.

Peminat bayar tiket RM50, FMLLP takkan tak boleh keluar sedikit modal untuk panggil artis buat persembahan kepada penyokong yang hadir awal ke stadium dan disebabkan itu Mat fikir final kali ini tidak meriah langsung. Nasib baik aksi Kedah dan Pahang seronok. Jika tidak Mat sendiri pun tak tahu nak cakap apa.

Lagi satu, sepanjang Mat di luar stadium Mat tengok ramai ulat tiket yang menjual tiket perlawanan dengan harga bermula RM25 hingga RM40. Macam mana perkara ini terjadi mat sendiri pun tidak tahu.

Mat fikir cukuplah itu sahaja. Nanti panas pula telinga FMLLP. Sebelum mat terlupa, Mat berasa hairan mengapa FMLLP mengadakan cabutan undian Piala Malaysia pada lewat malam. FMLLP sepatutnya fikir tentang media cetak atau surat khabar yang mahu membuat liputan.

Macam mana media cetak hendak buat liputan kalau undian dilakukan pada lewat malam. Fikir-fikirkanlah ya FMLLP.