Tegas Hamidin, barisan Harimau Malaya diingatkan supaya tidak memikirkan soal ganjaran sebaliknya memberi fokus sepenuhnya dalam aksi hidup mati itu bagi melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kalau kata (Presiden FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim umum akan memberi ganjaran pun kalau tak menang tak guna juga. Jadi, saya rasa beliau sentiasa perihatin mengenai pasukan dan perkara itu.

“Malah, sama ada Tunku Ismail umum atau tidak (mengenai bonus) ia bukan menjadi isu. Apa yang penting kita perlu menang aksi malam ini.

“Kita akan berusaha ke arah itu, Insya-Allah, kalau menang Tunku Ismail akan perihatin untuk memberi ganjaran,” kata Hamidin yang kini bersama skuad kebangsaan di Buriram, malam tadi.

Ketika perlawanan menentang Hong Kong, bulan lalu, Presiden FAM mengumumkan ganjaran sebanyak RM30,000 kepada setiap pemain jika memenangi perlawanan tersebut.

Bagaimanapun hajat Malaysia untuk melakar kemenangan pertama tidak kesampaian selepas tewas 2-0 kepada Hong Kong, sekali gus berputih mata untuk meraih ganjaran seperti yang dijanjikan oleh Presiden FAM.

Skuad bimbingan Nelo Vingada kini tidak boleh tewas dalam dua aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara malam ini dan Isnin depan di Stadium I-Mobile di sini.- UTUSAN ONLINE