Seawal minit kelapan, pemain tengah, Afiq Fazail meletakkan JDT di hadapan apabila menyempurnakan hantaran rakan pasukan sekali gus menghasilkan gol pendahulu perlawanan.

Pemain import Argentina, Gonzalo Cabrera menghadiahkan gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-14 selepas pemain pertahanan PKNS menjatuhkan pemain JDT dalam kawasan kotak penalti.

Tersentak dua gol di hadapan, pasukan pelawat menukar rentak perlawanan pada aksi kedua sekali gus menghasilkan gol pada minit ke-48 apabila Gabriel Guerra meledakan menerusi sepakan tajam menerjah jaring gol.

Namun kegembiraan pasukan PKNS meraikan gol itu tidak bertahan lama apabila Safawi Rasid menambah gol buat JDT pada minit ke-85 sekali gus menjarakkan jurang.

Pengurus pasukan, Luciano Figueroa nyata berpuas hati dengan kemenangan itu selain memuji aksi yang dipamerkan anak buahnya namun beberapa perkara perlu dibaiki.

“Mereka bermain dengan baik sehingga menjaringkan dua gol pada awal perlawanan namun pada separuh masa kedua para pemain memperlahankan rentak sehingga memberi gol mudah kepada pihak lawan.

“Kita akan lihat kelemahan ini dan perlu diperbaiki untuk perlawanan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Kejayaan mengutip tiga mata penuh pada aksi kesepuluh Liga Super musim ini mengukuhkan kedudukan JDT apabila mengumpul 26 mata pada kedudukan semasa. - UTUSAN ONLINE