FIFA memberitahu pada Mac lalu bahawa pengadil dari Ghana, Joseph Lamptey telah digantung seumur hidup selepas didapati bersalah kerana mempengaruhi keputusan perlawanan yang menyaksikan Afrika Selatan meraih kemenangan 2-1 ke atas Senegal dalam kempen Kumpulan D.

Bagaimanapun, FIFA ketika itu tidak memberikan penjelasan terperinci sehingga pihak badan induk bola sepak Afrika (CAF) mengeluarkan kenyataan bahawa Lamptey telah silap memberikan sepakan penalti kepada Afrika Selatan dan menggantung pengadil itu selama tiga bulan.

Penggantungan Lamptey baru-baru ini telah disokong oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Biro untuk Kelayakan Piala Dunia FIFA telah mengarahkan perlawanan melibatkan pasukan Afrika Selatan dan Senegal dimainkan semula.

“Perlawanan tersebut akan berlangsung pada November 2017 dan tarikh bagi perlawanan tersebut akan dimaklumkan kemudian,” kata kenyataan daripada pihak FIFA.

Pihak CAF memberitahu bahawa Lamptey telah didapati bersalah kerana mempamerkan prestasi buruk ketika perlawanan tersebut apabila menghadiahkan penalti kepada pasukan yang salah kerana didakwa bola terkena tangan pemain, hakikatnya bola tidak langsung menyentuh tangan pemain. REUTERS