Festival tersebut akan merangkumi Konvensyen Asia Tenggara Red Army pada 26 April, manakala Karnival Penyokong Red Army United di Kompleks Sukan Bukit Bukit Jalil dan Majlis Makan Malam Gala RAM untuk Unicef berlangsung pada keesokan harinya.

Selain menghimpunkan peminat Manchester United dari seluruh negara pada festival itu, RAM kini bergiat aktif untuk mengumpul dana dan mencari penaja korporat mahupun individu bagi membeli kelengkapan untuk majlis makan malam tersebut.

Presiden RAM, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, pihaknya merupakan penggerak kepada penyatuan penyokong Manchester United, dengan beberapa aktiviti menarik seperti menonton perlawanan melibatkan skuad Red Devils bersama.

“Sebagai aset dalam komuniti, kami ingin menyumbang kepada masyarakat melalui inisiatif amal selain acara sosial dan rekreasi.

“Gerakan amal pertama kami adalah untuk mengumpul dana bagi Nur Auliya Rahmat Faizan dari Perlis yang menderita sakit Atresia Bilier, iaitu penyakit melibatkan hempedu dan hati, dan sesuatu yang jarang berlaku.

“Hari ini kami akan menyerahkan cek sebanyak RM5,000, yang akan membiayai kos rawatan perubatannya,” ujar Rosthman dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Mana-mana penyokong United atau pihak korporat yang berminat untuk menyumbang boleh menghubungi RAM.

Selain itu, penyokong United juga boleh membeli tiket daripada RAM. Urus niaga pembelian tersebut boleh dibuat menerusi aplikasi mudah alih RAM, yang dilancarkan hari ini.- UTUSAN ONLINE