GAMBAR fail Alex Ferguson bersama trofi Liga Juara-juara selepas menumpaskan Chelsea dalam perlawanan akhir di Moscow pada 2008

Ferguson, 76, masih diletakkan dalam rawatan rapi, namun me­nunjukkan tindak balas baik dan tanda-tanda positif untuk pulih.

Pengurus legenda United itu dikejarkan ke hospital selepas rebah di rumahnya di Cheshire, sebelum menjalani pembedahan kecemasan.

Menurut akhbar Britain, Daily Mail, pembedahan berjalan de­ngan ‘amat baik’, dan Ferguson kini dirawat di Salford Royal selepas pada mulanya mendapatkan rawatan di Hospital Awam Macclesfield.

Sementara itu, bintang tengah United, Juan Mata menggesa rakan-rakan sepasukan agar menerap­kan mentaliti kemenangan dalam tiga perlawanan ter­akhir musim ini sebagai penghormatan buat Ferguson.

United belum sah menamatkan Liga Perdana Inggeris sebagai naib juara selepas kalah 0-1 kepada Brighton Sabtu lalu dan memiliki dua lagi perlawanan untuk diharungi iaitu menentang West Ham, Jumaat ini serta Watford pada Ahad.

Red Devils kemudian perlu berdepan Chelsea dalam final Piala FA di Stadium Wembley pada 19 Mei.

“Sabtu lalu, kami semua berkongsi kesedihan apabila menerima berita tentang kesihatan Alex Ferguson.

“Berita itu memberi impak kepada United. Kami semua bersatu ketika ini dan mengharapkan beliau cepat sembuh. Beliau adalah seorang tokoh dan watak penting dalam dunia bola sepak sejak beberapa dekad lalu.

“Malangnya, saya tidak pernah berada di bawah beliau namun saya mengetahui kehebatannya berdasarkan legasi yang ditinggalkan, jadi dengan menerapkan mentaliti kemenangan dan sema­ngat juang kami perlu melakukannya untuk tiga perlawanan terakhir pada musim ini terutama final Piala FA,” kata Mata. – AGENSI