Pengadil, Lee Probert enggan melayani permintaan Newcastle yang mahukan sepakan penalti apabila Anderson melakukan terjahan ke atas Peter Lovenkrands.

Probert kemudiannya melayangkan kad kuning kepada Javier Hernandez, yang didakwa sengaja menjatuhkan badan di dalam kotak penalti walaupun penyerang United itu mendakwa dia dijatuhkan Danny Simpson.

Bos Red Devils jelas bengang dengan keputusan itu dengan menyifatkan kad kuning kepada Hernandez tidak masuk akal.

"Jika tidak mahu memberikan penalti, tidak mengapa, namun memberikan kad kuning saya rasa agak keterlaluan.

"Saya melihat dengan jelas berlaku pelanggaran. Chicarito bukan seorang pemain yang suka menjatuhkan dirinya di atas padang. Saya tidak pernah melihat dia meminta penalti sebelum ini.

"Pengadil telah merosakkan reputasinya di atas padang walaupun mempunyai permainan yang baik sebelum itu, " kata Ferguson.

Sementara itu, pengurus Newcastle, Pardew berkata dia bimbang kerana sejarah United yang sering menjaringkan gol pada minit akhir permainan.

"Saya sangka pengadil akan memberikan United sepakan penalti.

"Jadi, anda harus bertepuk tangan di atas keputusan yang telah dilakukannya, ia merupakan keputusan yang tepat.

"Kaki Danny tersangkut pada kaki lawan tetapi dia dapat menarik balik.

"Kemudian, saya melihat kembali insiden Peter (Lovenkrands) dan jelas kami berhak mendapat penalti.

"Dia merupakan pemain yang jujur, dia tidak suka berpura-pura jatuh tanpa sebab," kata Pardew.

Ferguson bagaimanapun mungkin tidak terlalu cemas kerana pencabar terdekat, Arsenal sekadar seri 1-1 dengan Liverpool pada Ahad lalu.

"Sukar untuk saya perkatakan sama ada kami mendapat mata yang berbaloi atau melepaskan dua mata.

"Sekarang ia bukan sahaja terletak bagaimana Arsenal memberikan tindak balas dalam perlawanan seterusnya, tetapi kami harus melihat Chelsea kerana mereka mempunyai tiga perlawanan di tempat sendiri.

"Terdapat dua perlawanan penting yang akan datang menanti kami iaitu Arsenal di tempat lawan dan Chelsea di laman sendiri." - Agensi