Nama saudara kembarnya ialah Mansour Fellaini dan mereka sangat seiras.

Dilahirkan pada 22 November 1987 di Etterbeek, Brussels, Belgium setelah ibu bapanya berhij­rah ke negara itu dari Maghribi, Mansour dan Marouane mempunyai kerjaya yang sama iaitu pemain bola sepak.

Sekalipun mempunyai raut wajah seiras, namun Marouane yang digelar ‘Giraffro’ lebih tinggi daripada Mansour iaitu 1.94 meter.

Pada April 2015, kelibat Mansour pernah menghuru-harakan suasana di hotel penginapan Chelsea.

Sebahagian besar pemain Chelsea termasuk pengurus pasukan, Jose Mou­rinho (ketika itu mengendalikan Blues) nyaris terperdaya dengan kehadiran Marouane.

Mereka menyangkakan ­Marouane datang melawat hotel penginapan Chelsea menjelang pertemuan menentang United.

Bagaimanapun yang muncul sebenarnya adalah Mansour. Dia datang untuk mengutip tiket perlawanan dalam pertembungan di Stamford Bridge, London.

Mansour bertemu penye­rang Chelsea, Eden Hazard bagi mengambil tiket tersebut. Mereka dari negara yang sama iaitu Belgium dan saling mengenali antara satu sama lain.

Mourinho tidak sedar akan kehadiran Mansour, namun kakitangan hotel memberitahunya bahawa Marouane tidak akan bermain menentang Chelsea kerana dia datang untuk mengutip tiket perlawanan da­ripada Hazard.

Mourinho hampir menukar semula strategi mereka kerana menyangkakan ia benar, namun dalam masa sama dia tetap rasa ragu-ragu.

Pengendali dari Portugal itu bagaimanapun bijak kerana tidak tergesa-gesa mengubah percaturan, sebaliknya mencari maklumat mengenai ahli keluarga Marouane melalui enjin carian Google dan sangkaannya ternyata benar.

“Jadi saya tunjukkan foto saudara kembar Fellaini kepada pekerja hotel itu dan dia membalas semula dengan berkata ya benar, dia kelihatan seiras dalam gambar ini.

“Gambar itu adalah Mansour, saudara kembar pemain United itu,” kata Mourinho.

Marouane kemudian tersenarai dalam kesebelasan utama Red Devils yang dikendalikan Louis van Gaal ketika menentang Chelsea, dan mereka tewas kepada tuan rumah 0-1.

Sementara itu, menyingkap kisah percintaan Marouane, dia pernah dikaitkan dengan beberapa wanita popular.

Bagaimanapun paling ter­kenal pastinya bekas Ratu Cantik Belgium, Lara Binet dan bintang porno Britain, Jeffers Roxanne.

Binet yang dinobat sebagai Miss Liege 2011 sebelum me­nyertai Ratu Cantik Belgium mula berpacaran dengan Ma­rouane ketika pemain itu masih beraksi bersama kelab Belgium, Standard Liege.

Sepanjang bercinta, pasa­ngan tersebut ibarat belangkas yang tidak boleh dipisahkan, namun mereka akhirnya berpisah pada 2012 ketika Marouane menerima tawaran beraksi bersama United.

Ketika berada di Manchester, Marouane menjalin hubu­ngan dengan Roxanne, yang merupakan bekas teman wanita tonggak pertahanan England serta Chelsea, Ashley Cole.

Roxanne dikatakan tertarik dengan Marouane kerana gaya rambut afronya yang unik. Ke­dua-dua mereka diperkenalkan oleh seorang rakan.

Begitupun media Britain melaporkan, hubungan tersebut tidak bertahan lama apabila Roxanne bertindak meninggalkan bintang Piala Dunia Belgium itu pada 2015.