Presiden Kelab Felda United, Anuar Malek berkata, gaji September dibayar kepada semua pemain dan pegawai terlibat sejak kelmarin.

“Kami sentiasa berusaha mencari dana bagi menyelesaikan tunggakan gaji selama tiga bulan iaitu September hingga November tahun lalu.

“Buat permulaan, kita bayar dahulu gaji bulan September dan baki dua bulan lagi akan cuba diselesaikan dalam masa terdekat bergantung kepada sumber kewangan yang ada, “ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, bayaran tunggakan sebulan gaji itu menunjukkan komitmen pihak pengurusan dalam usaha menjaga kebajikan pemain dan pegawai.

“Kita telah mendapatkan pandangan banyak pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk selesaikan kemelut yang melanda,” ujarnya.

Sebagai presiden baharu, beliau akan berusaha bagi memastikan masalah kewangan tidak berlaku lagi pada musim ini. - UTUSAN ONLINE