Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, pasukannya berhak menang dalam perlawanan berkenaan kerana beraksi dengan baik untuk membawa pulang tiga mata.


“Saya gembira dan memuji corak permainan mantap yang ditunjukkan oleh pemain Felda United di setiap posisi apabila berjaya mengekang kemaraan tuan rumah,” katanya hari ini.


Menurut Sathianathan, skuad The Fighters kembali bangkit dengan aksi bertenaga selepas tewas 1-3 kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC pada suku akhir pertama Piala Malaysia Jumaat lalu.


“Corak permainan yang ditunjukkan dalam perlawanan malam tadi jauh berbeza dengan aksi bersama PKNP FC yang dilihat agak hambar,” ujarnya.


Dalam perlawanan menentang Kedah itu, Felda United mendapat gol menerusi sepakan percuma Wan Zack Haikal Wan Nor seawal minit kedua permainan.


Penyerang import The Fighters, Thiago Augus menggandakan jaringan pelawat menerusi rembatan kencang pada minit ke-19.


Kedah bagaimanapun merapatkan kedudukan jaringan menerusi Ken Ilso pada minit ke-22 sebelum Wan Zack Haikal memastikan pelawat pulang dengan tiga mata apabila sepakan percumanya pada minit ke-49 gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah. - UTUSAN ONLINE